Monday, February 15, 2010

pendamai


LAPORAN PERBINCANGAN MEJA BULAT MENGENAI
KEBERKESANAN PELAKSANAAN BADAN PENDAMAI DI BAWAH
SEKSYEN 106, AKTA MEMBAHARUI UNDANG-UNDANG
(PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN) 1976 (AKTA 164)
PENDAHULUAN


1. Perbincangan Meja Bulat Mengenai Keberkesanan Pelaksanaan
Badan Pendamai di Bawah Seksyen 106, Akta Membaharui Undang-
Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) telah diadakan
pada 26 Mei 2009 di Dewan Serbaguna, NAM Institute for the
Empowerment of Women (NIEW), Kuala Lumpur. Seramai 44 orang
peserta yang terdiri daripada wakil kementerian dan jabatan kerajaan,
ahli akademik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan
telah menghadiri perbincangan meja bulat ini. Senarai peserta adalah
seperti di Lampiran 1.
OBJEKTIF
2. Tujuan perbincangan meja bulat ini adalah untuk:
(i) mendapatkan maklum balas mengenai keberkesanan
pelaksanaan badan pendamai di bawah Seksyen 106, Akta
164, khususnya berhubung keberkesanan sistem dan
kompetensi badan pendamai serta impak kepada kumpulan
sasar; dan
(ii) mendapatkan cadangan bagi mengukuhkan badan
pendamai di bawah Seksyen 106, Akta 164.
PERUTUSAN PENGERUSI
3. Perbincangan meja bulat ini telah dipengerusikan oleh Y.Bhg.
Datuk Nor Hayati Sulaiman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar),
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
(KPWKM). Dalam perutusannya, beliau mengalu-alukan kehadiran
peserta serta mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan sokongan
yang diberikan dalam menjayakan perbincangan meja bulat ini.
4. Sebagai latar belakang, Y.Bhg. Datuk Pengerusi memaklumkan
bahawa Jawatankuasa Ad Hoc Untuk Meminda Akta 164 telah
ditubuhkan di bawah Jabatan Peguam Negara bagi menambah baik
peruntukan-peruntukan dalam Akta 164 supaya kepentingan wanita dan
kanak-kanak diutamakan. Jawatankuasa ini juga meneliti cadangan
pengasingan kuasa berkaitan perkahwinan dan perceraian di bawah
Akta 164 antara Jabatan Pendaftaran Negara dengan KPWKM.
Jawatankuasa ini semasa mesyuarat pada 17 hingga 19 Ogos 2007
telah bersetuju supaya KPWKM menyelaraskan cadangan pengasingan
kuasa tersebut bersama agensi yang berkaitan.
5. Susulan kepada keputusan tersebut, KPWKM telah mengadakan
mesyuarat pada 5 Oktober 2007 bagi membincangkan cadangan
pengasingan kuasa bagi peruntukan berkaitan perkahwinan dan
perceraian di bawah Akta 164. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh wakil
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara dan
Jabatan Pendaftaran Negara. Wakil Jabatan Peguam Negara dalam
mesyuarat tersebut memaklumkan bahawa hanya perkara-perkara
berkaitan badan pendamai di bawah Seksyen 106 sahaja boleh
diletakkan di bawah bidang kuasa KPWKM. Manakala perkara-perkara
lain seperti tuntutan pembayaran nafkah dan penjagaan anak adalah di
bawah bidang kuasa mahkamah. Sehubungan itu, mesyuarat
memutuskan supaya satu Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Badan
Pendamai di bawah Seksyen 106, Akta 164 dilaksanakan terlebih
dahulu. Kajian ini bertujuan untuk meneliti masalah yang dihadapi oleh
badan pendamai daripada sudut keberkesanan sistem, kompetensi
badan pendamai dan agensi pelaksana serta impak kepada kumpulan
sasar.
6. Walau bagaimanapun, berdasarkan pandangan serta cadangan
daripada ahli Jawatankuasa Kewangan dan Teknikal Perunding Kajian
Keberkesanan Pelaksanaan Badan Pendamai di bawah Seksyen 106,
Akta 164, KPWKM telah memutuskan supaya kajian ini tidak diteruskan.
Sebaliknya ia digantikan dengan perbincangan meja bulat bagi
mendapatkan maklum balas berhubung keberkesanan badan pendamai.
7. Y.Bhg. Datuk Pengerusi seterusnya memaklumkan bahawa bagi
mencapai objektif perbincangan meja bulat ini, perbincangan perlu
difokuskan kepada perkara-perkara berikut:
(a) Keberkesanan Sistem Badan Pendamai:
(i) mekanisme penubuhan dan pelaksanaan badan pendamai;
(ii) kuasa dan bidang tanggungjawab badan pendamai; dan
(iii) kesesuaian agensi pelaksana/bertanggungjawab ke atas
Seksyen 106, Akta 164.
(b) Kompetensi Badan Pendamai
(i) peraturan dan syarat kelayakan bagi menganggotai panel
badan pendamai termasuk latar belakang akademik/sosial,
kepakaran, kemahiran dan lain-lain; dan
(ii) insentif kepada ahli badan pendamai.
(c) Kumpulan Sasar (Pasangan Yang Mengikuti Proses Pendamaian):
(i) tujuan pasangan berkenaan mendapatkan perkhidmatan
badan pendamai;
(ii) kerjasama pasangan dalam mengikuti proses pendamaian
dan semasa proses tersebut dilaksanakan; dan
(iii) masalah yang dihadapi oleh pasangan yang berurusan
dengan badan pendamai.
SESI PEMBENTANGAN KERTAS KERJA
Kertas Kerja 1: Badan Pendamai Di Bawah Seksyen 106, Akta 164
8. Kertas kerja ini yang disampaikan oleh Puan Banu Sukumaran,
Penolong Pengarah, Bahagian Perkahwinan dan Perceraian, Jabatan
Pendaftaran Negara menyentuh perkara-perkara berikut:
(i) berdasarkan Seksyen 106 (1) Akta 164, seseorang yang
ingin membuat suatu petisyen perceraian di mahkamah perlu
terlebih dahulu merujuk kepada suatu badan pendamai bagi
mendapatkan pengesahan tentang masalah rumah tangga
yang dihadapi;
(ii) antara syarat-syarat yang mengecualikan pasangan
daripada merujuk kepada badan pendamai ialah:
• sipetisyen ditinggal langsung dan tidak tahu di mana
suami/isterinya;
• salah seorang daripada pasangan dipenjara selama
lebih 5 tahun; dan
• sipetisyen mengatakan pasangan mereka menghidap
sakit otak yang tidak dapat diubat (perlu disertakan
dengan pengesahan doktor).
(iii) pembubaran perkahwinan di bawah Seksyen 51 Akta 164
adalah apabila salah satu pihak telah memeluk agama Islam
manakala Seksyen 52 pula memperuntukkan pembubaran
perkahwinan dengan persetujuan bersama;
(iv) Seksyen 106 (3), Akta 164, mendefinisikan "badan
pendamai" sebagai:
(a) sesuatu majlis yang ditubuhkan bagi maksud
pendamaian oleh pihak berkuasa yang berkenaan bagi
sesuatu agama, kaum, puak atau persatuan; atau
(b) sesuatu tribunal perkahwinan; atau
(c) mana-mana badan lain yang diluluskan sebagai
demikian oleh Menteri melalui pemberitahu dalam
Warta.
(v) cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh pihak Jabatan
Pendaftaran Negara dalam memastikan keberkesanan
badan pendamai seperti:
• kesukaran untuk mendapatkan ahli tribunal
perkahwinan;
• kurangnya sokongan dan komitmen daripada
organisasi seperti organisasi keagamaan dan NGO
untuk menubuhkan badan pendamai walaupun Akta
164 membenarkan mereka menubuhkan badan
pendamai;
• kurang kemahiran terutama kemahiran kaunseling di
kalangan ahli tribunal perkahwinan; dan
• pegawai-pegawai Jabatan Pendaftaran Negara yang
menjadi ahli tribunal perkahwinan juga perlu
menjalankan tugas-tugas hakiki mereka.
(vi) mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan seperti:
• memberikan kursus kaunseling kepada ahli tribunal
perkahwinan;
• memberikan elaun kepada ahli tribunal perkahwinan;
• menggalakkan penglibatan lebih banyak NGO
menubuhkan badan pendamai; dan
• menggalakkan lebih ramai individu menawarkan diri
untuk menjadi ahli tribunal perkahwinan.
Catatan: Nota taklimat adalah seperti di Lampiran 2.
Kertas Kerja 2: Keberkesanan Pelaksanaan Badan Pendamai Di
Bawah Seksyen 106, Akta 164 Dengan Rujukan Kepada Tribunal
Perkahwinan
9. Kertas kerja ini disampaikan oleh Encik Harjeet Singh, Setiausaha
Bahagian (Dasar), KPWKM. Intipati kertas kerja ini menyentuh perkaraperkara
berikut:
(i) antara isu dan masalah keberkesanan pelaksanaan tribunal
perkahwinan ialah:
• lebih 95% pasangan yang merujuk kepada tribunal
perkahwinan semata-mata bertujuan untuk
mendapatkan sijil JPN.KC29 (Perakuan Majlis
Pendamaian/Tibunal Perkahwinan);
• tribunal perkahwinan tidak mempunyai kuasa untuk
mewajibkan pihak yang terlibat hadir bagi usaha
pendamaian;
• ahli tribunal sering bertukar;
• ahli tribunal tidak mempunyai kepakaran khusus
seperti kaunseling; dan
• ketiadaan insentif untuk ahli tribunal seperti elaun
khas.
(ii) cadangan penambahbaikan kepada tribunal perkahwinan
ialah:
• mewajibkan pasangan yang memohon untuk bercerai
hadir ke sesi pendengaran kes bagi mengelakkan
berlakunya penangguhan kes;
• memastikan keahlian tribunal perkahwinan yang tetap
dan tidak berubah;
• menetapkan syarat kelayakan ahli tribunal
perkahwinan seperti mempunyai kepakaran dan
pengetahuan dalam undang-undang keluarga dan
kaunseling; dan
• menyediakan elaun khas kepada ahli tribunal
perkahwinan.
Catatan: Nota taklimat adalah seperti di Lampiran 3.
SESI PERBINCANGAN
10. Dalam sesi perbincangan, para peserta telah membangkitkan
perkara-perkara berikut:
Kemahiran, Kepakaran Dan Kelayakan Ahli Badan Pendamai
(i) Kebanyakan peserta berpandangan ahli tribunal perkahwinan
kurang kepakaran dan kemahiran dalam urusan mendamaikan
pasangan yang dirujuk ke tribunal perkahwinan. Ini kerana mereka
tidak mempunyai latar belakang dalam bidang kaunseling,
psikologi atau terapi perkahwinan (marriage therapy).
(ii) Wakil Women’s Aid Organisation (WAO) memaklumkan terdapat
rungutan daripada pasangan yang menghadiri sesi pendengaran
tribunal perkahwinan mengenai kelemahan dan ketidakcekapan
ahli tribunal terutama dalam memahami aspek budaya dan juga
bahasa pasangan. Kesukaran berkomunikasi antara ahli tribunal
dengan pasangan yang dirujuk menjadikan proses pendamaian
sukar dilaksanakan.
(iii) Majlis Peguam Malaysia berpandangan komposisi tribunal
perkahwinan perlulah mewakili ethnicity pasangan yang dirujuk
kepada tribunal berkenaan. Dalam hal ini, Jabatan Pendaftaran
Negara memaklumkan bahawa tiada sekatan dalam Akta 164 ke
atas mana-mana individu untuk menganggotai tribunal
perkahwinan.
(iv) Wakil Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) mencadangkan supaya
pasangan yang memohon untuk mendapatkan sijil JPN.KC29
(Perakuan Majlis Pendamaian/Tibunal Perkahwinan) sewajarnya
dirujuk kepada clinical psychologists yang mempunyai kemahiran
profesional dalam bidang kaunseling. Ini adalah kerana proses
mendamaikan pasangan yang menghadapi masalah rumah
tangga bukanlah sesuatu yang mudah dan ia memerlukan individu
yang mahir dan pakar dalam bidang ini. Sekiranya proses
pendamaian dikendalikan oleh pihak yang tidak mahir, ia boleh
memberi kesan yang lebih buruk kepada pasangan. Kaedah ini
telah dilaksanakan dengan jayanya oleh negara-negara seperti
Australia dan Singapura.
(v) Dalam hal ini, wakil Jabatan Peguam Negara berpandangan kualiti
ahli tribunal perkahwinan wajar dipertingkatkan melalui latihan
secara berterusan. Selain itu, perkhidmatan kepakaran juga boleh
diperolehi secara outsourcing daripada mereka yang pakar selaras
dengan peruntukan berhubung perkara ini dalam Seksyen 55 (1)
Akta 164.
(vi) Wakil Jabatan Peguam Negara mencadangkan supaya kualiti ahli
tribunal perkahwinan dipertingkatkan bagi menjamin perkhidmatan
yang berkesan. Sehubungan itu, dicadangkan supaya ahli tribunal
dilantik daripada kalangan golongan profesional dalam bidang
undang-undang dan kaunseling atau individu yang berpengaruh
dan dihormati dalam masyarakat.
(vii) Dalam hal ini, wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN)
memaklumkan bahawa Akta 164 tidak menetapkan secara khusus
syarat kelayakan untuk dilantik sebagai ahli tribunal perkahwinan.
Justeru, wakil KDN berpandangan penetapan syarat kelayakan
khusus ahli tribunal perkahwinan adalah tidak wajar kerana
dikhuatiri menyukarkan usaha untuk mendapatkan ahli tribunal
perkahwinan yang berkelayakan, terutama di peringkat daerah.
(viii) Wakil UIA dan LPPKN mencadangkan perkara berhubung "syor
badan pendamai ke atas perkara-perkara berkenaan nafkah,
pembahagian harta perkahwinan dan penjagaan anak-anak belum
dewasa" dalam Seksyen 106 (5) (b) Akta 164 digugurkan.
Cadangan ini dibuat kerana kebanyakan ahli tribunal perkahwinan
tidak mempunyai kepakaran membuat syor ke atas perkara
berhubung nafkah, pembahagian harta perkahwinan dan
penjagaan anak-anak belum dewasa.
Kes Penderaan Sepatutnya Tidak Dirujuk Kepada Tribunal
Perkahwinan
(i) Wakil WAO memaklumkan terdapat kes wanita yang menjadi
mangsa penderaan diminta untuk menghadiri sesi pendengaran
tribunal perkahwinan walaupun terdapat peruntukan yang
menyatakan bahawa sesi pendengaran tribunal perkahwinan tidak
diwajibkan bagi kes-kes yang melibatkan penderaan. Dalam
perkara ini, wakil Jabatan Pendaftaran Negara memaklumkan
berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 106 (1) (vi) Akta 164,
kes-kes seperti penderaan boleh dikecualikan daripada merujuk
kepada badan pendamai, tertakluk kepada keputusan mahkamah.
(ii) Wakil Jabatan Pendaftaran Negara juga menjelaskan terdapat
mangsa penderaan yang merujuk kepada tribunal perkahwinan
atas nasihat peguam mereka. Tindakan ini bertujuan semata-mata
untuk mendapatkan sijil JPN.KC29 (Perakuan Majlis
Pendamaian/Tibunal Perkahwinan) bagi memudahkan proses
perceraian di mahkamah.
Penetapan Tempoh Yang Sesuai Bagi Proses Pendamaian
(i) Terdapat pandangan daripada peserta mengenai tempoh masa
bagi proses pendamaian seperti berikut:
(a) wakil Jabatan Peguam Negara dan Universiti Islam
Antarabangsa (UIA) berpendapat tempoh 6 bulan bagi proses
pendamaian adalah terlalu lama. Ini kerana pada
kebiasaannya perkahwinan pasangan yang hadir ke sesi
pendengaran tribunal perkahwinan tidak dapat diselamatkan
lagi. Adalah lebih wajar tempoh tersebut dipendekkan kepada
3 bulan sahaja bagi memudahkan proses perceraian dengan
mengambil contoh amalan terbaik seperti di Singapura yang
hanya mengambil masa 24 jam bagi menyelesaikan proses
perceraian;
(b) walau bagaimanapun, wakil Pertubuhan Memupuk Asas
Ikatan Keluarga Kuala Lumpur dan Selangor (PEMALIK)
berpandangan tempoh 6 bulan wajar dipanjangkan lagi
memandangkan tempoh ini adalah singkat bagi mendamaikan
pasangan. Ini kerana tempoh yang lebih panjang boleh
memberikan peluang kepada pasangan untuk meredakan
keadaan yang memungkinkan pasangan berdamai; dan
(c) dalam perkara ini, wakil Jabatan Pendaftaran Negara
memaklumkan bahawa tanggungjawab utama tribunal
perkahwinan adalah untuk mendamaikan pasangan yang
menghadapi masalah dalam perkahwinan dan bukannya
untuk memudahkan atau mempercepatkan proses perceraian.
Justeru, tempoh 6 bulan tersebut adalah memadai bagi
membolehkan proses pendamaian tersebut dilaksanakan.
Kekerapan Sesi Pendengaran Tribunal Perkahwinan
(i) Wakil Majlis Peguam Malaysia mencadangkan supaya sesi
pendengaran tribunal perkahwinan ditetapkan sebulan sekali.
Cadangan ini bagi membolehkan tribunal perkahwinan bersidang
secara tetap (regularly) untuk mempercepatkan penyelesaian kes.
Kurangnya Penglibatan NGO Dan Badan Agama Sebagai Badan
Pendamai
(i) Wakil Majlis Kelab Bell Belia Tamil Selangor membangkitkan isu
bahawa kebanyakan NGO tidak mengetahui peranan yang boleh
dimainkan oleh mereka bagi membantu Kerajaan khususnya untuk
menjadi ahli tribunal perkahwinan atau menubuhkan badan
pendamai seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 106 (3) (a)
dan (c). Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan
Pendaftaran Negara disarankan untuk membuat publisiti yang
meluas bagi menerangkan dan menggalakkan pihak NGO dan
badan agama menyertai tribunal perkahwinan atau menubuhkan
badan pendamai di bawah pentadbiran masing-masing.
Kerahsiaan Maklumat Yang Dibincangkan Dalam Sesi
Pendengaran/Pendamaian
(i) Seorang ahli tribunal perkahwinan daripada kalangan anggota
Jabatan Pendaftaran Negara membangkitkan isu menjaga
kerahsiaan maklumat yang dibincangkan dalam sesi
pendengaran/pendamaian. Perkara ini penting supaya ahli tribunal
tidak memburukkan lagi keadaan antara pasangan yang hendak
bercerai. Dalam hal ini, pelantikan ahli-ahli tribunal perlu dibuat
secara teliti dan berhati-hati. Sebagai tambahan, wakil UIA
mencadangkan supaya kod etika ahli tribunal perkahwinan perlu
diwujudkan bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap
tribunal perkahwinan.
Keperluan Perkhidmatan Mediasi
(i) Wakil UIA berpendapat bahawa usaha mewajibkan pasangan
merujuk kepada badan pendamai sebelum memfailkan petisyen
untuk bercerai kurang berkesan. Ini kerana kajian menunjukkan
peratusan perkahwinan yang berjaya diselamatkan adalah sangat
kecil. Sehubungan itu, beliau mencadangkan badan pendamai
dijadikan badan mediasi dan diletakkan di bawah bidang kuasa
mahkamah. Langkah ini dapat mempercepatkan prosiding
perceraian di mahkamah.
(ii) Dalam usaha menambah baik peranan tribunal perkahwinan,
tugas menyediakan perkhidmatan mediasi oleh tribunal
perkahwinan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 55
Akta 164 perlu digugurkan. Langkah ini adalah bagi membolehkan
tribunal perkahwinan menumpukan kepada tugas pendamaian
sahaja. Tugas menyediakan perkhidmatan mediasi wajar
diletakkan di bawah bidang kuasa mahkamah. Di samping itu,
pada masa ini tribunal perkahwinan tidak melaksanakan tugas
mediasi kerana tidak mempunyai kepakaran.
Tindakan Ke Atas Pasangan Yang Tidak Menghadiri Sesi
Pendengaran Tribunal Perkahwinan
(i) Pada masa ini, tribunal perkahwinan tidak mempunyai kuasa untuk
mewajibkan pasangan hadir ke sesi pendengaran. Sehubungan
itu, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara
dicadangkan supaya mengkaji kemungkinan mewujudkan
peruntukan undang-undang bagi mewajibkan pasangan
menghadiri sesi pendengaran tersebut. Sekiranya pasangan
terbabit gagal berbuat demikian, mereka sewajarnya dikenakan
tindakan undang-undang.
Keselamatan Pasangan Yang Menghadiri Tribunal Perkahwinan
(i) Wakil Majlis Peguam Malaysia membangkitkan isu salah seorang
pasangan yang hadir ke tribunal perkahwinan, terutamanya
wanita, mungkin berhadapan dengan ancaman daripada
pasangan mereka berikutan dendam dan perasaan tidak puas
hati. Memandangkan pasangan yang hadir ke sesi pendengaran
tribunal perkahwinan tidak diberi perlindungan keselamatan,
ancaman tersebut boleh membahayakan diri mereka.
(ii) Dalam hal ini, wakil NCWO mencadangkan supaya Jabatan
Pendaftaran Negara mengambil tindakan sewajarnya seperti
bekerjasama dengan pihak polis bagi membantu menangani
situasi yang boleh menggugat keselamatan salah seorang
pasangan yang hadir sesi pendengaran tribunal perkahwinan.
Ketiadaan Insentif Kepada Ahli Tribunal Perkahwinan
(i) Wakil tribunal perkahwinan memaklumkan bahawa antara faktor
NGO tidak berminat untuk menjadi ahli tribunal perkahwinan
adalah kerana ketiadaan insentif seperti elaun. Dalam hubungan
ini, peserta mencadangkan supaya diperuntukkan elaun khas
untuk ahli tribunal perkahwinan bagi membantu meringankan
bebanan kewangan mereka. Di samping itu, insentif ini juga dapat
menarik minat individu untuk menjadi ahli tribunal perkahwinan.
(ii) Wakil PEMALIK turut berpendapat bahawa ketiadaan elaun ahli
tribunal perkahwinan adalah merupakan antara masalah utama
yang menyebabkan tribunal perkahwinan gagal berfungsi dengan
berkesan kerana ahli tribunal tidak dapat memberikan komitmen
sepenuhnya. Keadaan ini juga menyebabkan berlakunya situasi
ahli tribunal perkahwinan yang bersilih ganti sehingga tidak dapat
mewujudkan keserasian dan kesinambungan dalam penyelesaian
kes.
Kadar Perceraian Yang Semakin Tinggi
(i) Wakil Kelab Bell Belia Tamil Selangor membangkitkan masalah
kadar perceraian yang tinggi khususnya di kalangan masyarakat
India dan Cina. Antara faktor peningkatan kadar perceraian ini
ialah kesedaran dan pengetahuan yang tinggi di kalangan
pasangan terhadap hak mereka dari segi undang-undang. Beliau
mencadangkan supaya langkah-langkah diambil bagi
membendung masalah ini.
(ii) Selain itu, beliau juga mencadangkan supaya harga borang
permohonan perceraian dinaikkan daripada RM2.00 kepada
jumlah yang lebih tinggi. Langkah ini bertujuan untuk menjadikan
proses perceraian lebih sukar dan memakan belanja yang besar
(a costly affair).
Keperluan Ibu Bapa Sebagai Saksi Bagi Perkahwinan Anak Yang
Berumur Antara 21 Hingga 25 Tahun
(i) Wakil tribunal perkahwinan mencadangkan supaya ibu bapa
disyaratkan menjadi saksi kepada perkahwinan anak mereka yang
berumur antara 21 hingga 25 tahun. Langkah ini bertujuan bagi
mengelakkan berlakunya kes kahwin lari atau paksa. Sehubungan
itu, cadangan ini sewajarnya menjadi tambahan kepada Seksyen
12 (1) Akta 164 yang menetapkan syarat bahawa seseorang yang
berumur di bawah 21 tahun memerlukan persetujuan bertulis ibu
bapa untuk berkahwin.
(ii) Beliau juga mencadangkan supaya Seksyen 12 (1) (a) Akta 164
dipinda bagi membolehkan ibu diberi hak yang sama untuk
memberikan persetujuan bertulis kepada anak yang berumur
antara 18 hingga 21 tahun untuk mendaftarkan perkahwinan.
Selain bertujuan untuk mengharmonikan Akta 164 dengan Perkara
8(2) Perlembagaan Persekutuan mengenai kesaksamaan gender,
cadangan ini juga boleh mengatasi masalah kesukaran
mendapatkan persetujuan bapa untuk mendaftarkan perkahwinan
di kalangan keluarga yang berpecah-belah.
Keperluan Kursus Pra Perkahwinan
(i) Wakil tribunal perkahwinan memaklumkan bahawa kebanyakan
pasangan yang menghadapi masalah perkahwinan adalah
daripada kalangan pasangan muda di bawah umur 25 tahun. Oleh
itu, beliau mencadangkan supaya kursus pra perkahwinan untuk
masyarakat bukan Islam diwajibkan, sama seperti syarat yang
dikenakan ke atas pasangan beragama Islam. Cadangan ini
adalah kerana kursus pra perkahwinan dilihat berperanan penting
dalam memberi persediaan yang sewajarnya kepada pasangan
yang akan berkahwin, khususnya tanggungjawab sebagai suami /
isteri dan kemahiran keibubapaan.
(ii) Dalam perkara ini, Y.Bhg. Datuk Pengerusi memaklumkan bahawa
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara
(LPPKN) telah memperkenalkan kursus pra perkahwinan
SMARTSTART untuk pasangan yang akan dan baru berkahwin.
Kursus ini terbuka kepada semua kaum dan penyertaannya
adalah secara sukarela.
(iii) Walau bagaimanapun, wakil Majlis Kelab Bell Belia Tamil Selangor
memaklumkan kursus pra perkahwinan SMARTSTART kurang
menarik minat golongan muda. Memandangkan kenyataan ini
bercanggah dengan maklum balas yang diterima oleh LPPKN
daripada peserta kursus pra perkahwinan SMARTSTART, pihak
Kelab Bell Belia Tamil Selangor diminta untuk mencadangkan
langkah penambahbaikan ke atas kursus pra perkahwinan
SMARTSTART.
Pendaftaran Perkahwinan Sivil Masih Dianggap Tidak Sah
Berbanding Perkahwinan Secara Adat
(i) Wakil Majlis Kelab Bell Belia Tamil Selangor membangkitkan isu
bahawa sebilangan masyarakat India beranggapan sesuatu
perkahwinan itu belum sah sepenuhnya selagi tidak dijalankan
berdasarkan adat walaupun pasangan telahpun didaftarkan
perkahwinannya di Jabatan Pendaftaran Negara. Keadaan ini
boleh dimanipulasi oleh salah seorang daripada pasangan yang
tidak bertanggungjawab untuk meninggalkan pasangan dan keluar
daripada ikatan perkahwinan sebelum perkahwinan secara adat
dilakukan. Sehubungan itu, Jabatan Pendaftaran Negara
disarankan supaya menjalankan kajian berhubung isu ini. Selain
itu, dicadangkan juga supaya disyaratkan perkahwinan secara
adat dan pendaftaran perkahwinan dijalankan serentak.
Keperluan Penubuhan Mahkamah Keluarga
(i) Wakil WAO mencadangkan supaya mahkamah keluarga
mengendalikan secara holistik perkara-perkara berkaitan
perkahwinan misalnya perkhidmatan kaunseling, pendamaian,
mediasi, tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak. Pendekatan
secara bersepadu ini telah digunakan dengan jayanya di beberapa
buah negara.
SYOR
11. Berdasarkan isu-isu yang dibincangkan dan pandangan yang
diberikan oleh peserta, syor bagi menambah baik keberkesanan badan
pendamai boleh dibahagikan kepada langkah jangka pendek dan jangka
panjang.
(a) Syor Jangka Pendek
(i) Komposisi tribunal perkahwinan hendaklah terdiri daripada
ahli-ahli yang mewakili ethnicity pasangan bagi memahami
aspek budaya pasangan dan melancarkan komunikasi
semasa proses pendamaian. Selain itu, golongan profesional
dalam bidang undang-undang dan kaunseling atau individu
yang berpengaruh dan dihormati dalam masyarakat wajar
dilantik sebagai ahli tribunal perkahwinan.
(ii) Ahli-ahli tribunal perkahwinan perlu diberikan latihan
berterusan terutama dalam bidang kaunseling, psikologi dan
terapi perkahwinan bagi meningkatkan kemahiran dan
kepakaran mereka dalam urusan mendamaikan pasangan.
(iii) Sekiranya perlu, pasangan hendaklah dirujuk secara
outsourcing kepada pakar-pakar khusus misalnya clinical
psychologist bagi menghasilkan kesan yang lebih positif.
(iv) Sesi pendengaran tribunal perkahwinan ditetapkan sebulan
sekali bagi membolehkan tribunal perkahwinan bersidang
secara tetap (regularly) untuk mempercepatkan
penyelesaian kes.
(v) Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran
Negara membuat promosi bagi menggalakkan pihak NGO
dan badan agama menyertai tribunal perkahwinan atau
menubuhkan badan pendamai di bawah pentadbiran
masing-masing.
(vi) Kod etika diwujudkan, termasuk bagi menjaga kerahsiaan
sesi pendengaran tribunal perkahwinan untuk meningkatkan
profesionalisme ahli tribunal perkahwinan dan seterusnya
keyakinan orang ramai terhadap tribunal perkahwinan.
(vii) Jabatan Pendaftaran Negara meningkatkan langkah
keselamatan bagi membantu menangani situasi yang boleh
menggugat keselamatan salah seorang pasangan (daripada
pasangannya yang satu lagi) yang hadir sesi pendengaran
tribunal perkahwinan.
(viii) Jabatan Pendaftaran Negara memberi elaun khas kepada
ahli tribunal perkahwinan yang menghadiri sesi pendengaran
kes bagi membantu meringankan beban kewangan dan
meningkatkan komitmen ahli tribunal. Langkah ini juga dapat
menarik minat individu menjadi ahli tribunal perkahwinan.
(ix) Kursus pra perkahwinan untuk masyarakat bukan Islam
diwajibkan seperti yang disyaratkan ke atas masyarakat
Islam untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada
pasangan yang akan berkahwin dalam memahami
tanggungjawab sebagai suami / isteri dan kemahiran
keibubapaan.
(x) Menyemak semula Akta 164 bagi:
(a) mewujudkan peruntukan undang-undang yang
mewajibkan pasangan menghadiri sesi pendengaran
tersebut;
(b) mensyaratkan ibu bapa menjadi saksi kepada
perkahwinan anak mereka yang berumur 21 hingga 25
tahun bagi mengelakkan berlakunya kes kahwin lari
atau paksa;
(c) membolehkan ibu diberi hak yang sama untuk
memberikan persetujuan bertulis bagi pendaftaran
perkahwinan anak yang berumur di antara 18 hingga
21 tahun. Langkah ini bertujuan untuk
mengharmonikan Akta 164 dengan Perkara 8(2)
Perlembagaan Persekutuan mengenai kesaksamaan
gender; dan
(d) perkara berhubung "syor badan pendamai ke atas
perkara-perkara berkenaan nafkah, pembahagian
harta perkahwinan dan penjagaan anak-anak belum
dewasa" dalam Seksyen 106 (5) (b) digugurkan.
Cadangan ini dibuat kerana kebanyakan ahli tribunal
perkahwinan tidak mempunyai kepakaran untuk
membuat syor berhubung perkara tersebut.
(b) Syor Jangka Panjang
(i) Satu kajian dijalankan bertujuan:
(a) menentukan tempoh masa yang paling sesuai bagi
sesuatu proses pendamaian memandangkan terdapat
pelbagai pandangan mengenai tempoh 6 bulan sedia
ada untuk proses pendamaian;
(b) meneliti kemungkinan badan pendamai dijadikan
badan mediasi yang diletakkan di bawah bidang kuasa
mahkamah. Langkah ini dapat mempercepatkan
prosiding perceraian di mahkamah; dan
(c) mengenal pasti isu pasangan yang telah mendaftarkan
perkahwinan secara sivil berpisah sebelum
perkahwinan secara adat dilakukan. Kajian ini juga
perlu meneliti kemungkinan mensyaratkan
perkahwinan secara adat dan pendaftaran
perkahwinan sivil dijalankan serentak.
(ii) Mendapatkan maklum balas daripada kumpulan sasar
tentang keberkesanan badan pendamai dan juga
mendapatkan pandangan serta syor daripada perspektif
mereka.
(iii) Perkara-perkara berkaitan perkahwinan misalnya
perkhidmatan kaunseling, pendamaian, mediasi, tuntutan
nafkah dan hak penjagaan anak dikendalikan secara holistik
oleh mahkamah keluarga.
PENUTUP
12. Y.Bhg. Datuk Nor Hayati Sulaiman, Timbalan Ketua Setiausaha
(Dasar), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta yang
menghadiri Perbincangan Meja Bulat Mengenai Keberkesanan
Pelaksanaan Badan Pendamai di Bawah Seksyen 106, Akta
Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976
(Akta 164). Beliau juga mengalu-alukan para peserta mengemukakan
sebarang cadangan atau pendapat tambahan untuk meningkatkan
keberkesanan badan pendamai menerusi surat ataupun e-mel kepada
pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Disediakan oleh:
Bahagian Dasar Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
16 Jun 2009
LAMPIRAN 1
Kehadiran Peserta Perbincangan Meja Bulat Mengenai
Keberkesanan Pelaksanaan Badan Pendamai Di Bawah Seksyen
106, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan
Perceraian) 1976 (Akta 164)
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
1. Y.Bhg. Datuk Nor Hayati Sulaiman - Pengerusi
2. Encik Harjeet Singh
3. Cik Zuraidah Amiruddin
Kementerian Dalam Negeri
4. Encik Md. Zin Abd. Hamid
Jabatan Pembangunan Wanita
5. Cik Norbaity Abdul Ghani
6. Puan Norsalina Salim
7. Puan Umadevi Kurias
8. Puan Linda Jamaludin
Jabatan Kebajikan Masyarakat
9. Puan Halijah Yahaya
10. Puan Sabarina Abu Hassan
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara
11. Dr. Anjli Doshi
12. Dr. Khamsiah Ismail
Jabatan Peguam Negara
13. Puan Sohaini Alias
Jabatan Pendaftaran Negara
14. Puan Banu Sukumaran
15. Puan Zarifah Zulghaffar
Biro Bantuan Guaman
16. Puan Priscilla Ulau Deng
17. Puan Atiqah Mohamed Saim
Jabatan Pendaftaran Negara (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur)
18. Cik Dorin Jemlai Anak Peter Niyel
19. Encik Ramani A/L V. Iyapillai
20. Puan Robitah Ambri
21. Encik Rahmat Mat Dom
22. Puan Rozani Ya’akob
Jabatan Pendaftaran Negara (Negeri Selangor)
23. Puan Faridah Mohd Sikah
24. Puan Rodz’ah Daud
25. Puan Suhaili Lee Abdullah
26. Puan Abtitah Asmaq Mohd Yusoff
Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO)
27. Puan Rasamani Kandiah
28. Puan Sharmila Sekaran
Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaya
29. Prof. Madya Dr. Raihanah Azahari
Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia
30. Dr. Nora Abdul Hak
Persatuan Ibu Tunggal Spring
31. Puan Christina Quah
Women’s Aid Organisation (WAO)
32. Puan Shoba Aiyar
Agape Counselling Centre Malaysia
33. Puan Lai Keew Fa
Pertubuhan Memupuk Asas Ikatan Keluarga Kuala Lumpur dan
Selangor (PEMALIK)
34. Y.Bhg. Tan Sri Dr. Devaki Krishnan
35. Puan Pushfa R.
36. Puan Ratna R.S.
37. Encik Micheal Ravi
Majlis Peguam Malaysia
38. Cik Vignesvary Alahakone
Fakulti Ekologi Manusia dan Pengajian Keluarga, Universiti Putra
Malaysia
39. Y.Brs. Dr. Sarvinder Kaur Sandhu
Focus on the Family (M) Sdn. Bhd.
40. Encik Lee Swee Seng
All Women’s Action Society (AWAM)
41. Puan Pramodini Nair
Majlis Kelab Bell Belia Tamil Selangor
42. Encik Ganapathy a/l Muniandy
43. Encik Mugilan a/l Veeraputhran
Wanita MCA
44. Cik Lee Shook Fong

No comments:

Post a Comment